Perisian menjadi elemen utama dalam evolusi sistem dan produk berasaskan komputer dan ia juga menjadi salah satu teknologi yang terpenting di dunia. Perisian direkabentuk dan dibina oleh jurutera perisian. Untuk membangunkan perisian komputer, rangka kerja diperlukan yang terdiri daripada proses, set kaedah dan alatan-alatan yang dikenali sebagai kejuruteraan perisian. Jurutera perisian yang bertanggungjawab membina perisian, melihat perisian sebagai atur cara, data dan juga dokumen. Sebaliknya, pengguna perisian pula melihat perisian sebagai produk yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan perniagaan serta menjadikan tugas mereka lebih mudah dilaksanakan. Matlamat utama kejuruteraan perisian ialah untuk menyediakan rangka kerja bagi membangunkan perisian yang berkualiti.